Usaha
Pelaburan Di Luar Negara Pastikan Petronas Terima Pendapatan Berterusan, Kata
Najib
SEPANG, 22 Julai
(Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat memuji syarikat
minyak dan gas negara, Petronas, kerana akan terus menerima hasil pelaburan
berikutan langkah proaktifnya melabur di luar negara.
Najib, yang juga Menteri
Kewangan, yang merujuk kepada pelaburan Petronas membina Loji Rawatan Gas dan
Terminal Gas Darat Kiyanly di Turkmenistan baru-baru ini, berkata warga kerja
Petronas turut mengharumkan nama negara sambil melaksanakan pelaburan itu.
Pembinaan loji itu, yang
juga pelantar gas pesisir pantai pertama Turkmenistan, melibatkan pelaburan
US$5.2 bilion.
Berucap sebaik tiba dari
lawatan ke tiga buah negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) di sini, Najib berkata pelantar gas itu juga terletak di antara yang
“terkaya” di kawasan tersebut.
“Ini bererti punca
pendapatan Petronas akan menerima pulangan secara berterusan kerana minyak di
Malaysia semakin pupus,” katanya sambil memuji syarikat minyak milik negara,
yang telah mengambil langkah proaktif untuk melabur di luar negara.
Katanya langkah Petronas
itu, yang dilakukan mengikut perancangan awal dan teliti, telah dilakukan demi
kebaikan rakyat Malaysia.
Pada 12 Julai lalu, Najib
bersama-sama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhammedov melancarkan Loji
Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly itu.
Najib telah mengadakan
lawatan rasmi selama dua hari ke Turkmenistan sebelum berlepas ke United
Kingdom dan Itali.
Perdana Menteri turut
melahirkan rasa bangga atas penglibatan lebih 100 jurutera tempatan dalam
pelbagai bidang seperti geologi, kimia dan petroleum di dalam pembinaan loji
itu.
“Yang melakukan kerja ini
adalah anak-anak negara ini. Anak Malaysia. Anak-anak Malaysia telah
mengharumkan nama negara di sana.”
Loji Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly akan menyaksikan dua proses dengan gabungan kapasiti pengeluaran sehingga 500 juta kaki padu standard sehari dan 53 kilometer saluran yang menghubungkan Terminal ke saluran paip eksport.
No comments:
Post a Comment